KENYATAAN BALAS DARI PURBA SELANGOR BERKAITAN KOMEN-KOMEN PERTANDINGAN KERIS NUSANTARA PADA 22/12/2012.
Adalah dengan ini PURBA Selangor merasa terpanggil untuk membuat kenyataan balas terhadap beberapa kenyataan oleh segelintir peminat keris pada pertandingan keris nusantara yang lalu :-
1. PURBA Selangor agak kesal dengan sesetengah pihak yang cuba membuat kenyataan dan komen-komen liar terhadap hakim-hakim dan keris-keris yang dipertandingkan. Penghakiman mempunyai jawatan kuasanya yang terdiri dari Pengerusi pertandingan, Ketua hakim dan hakim-hakim, penghakiman dibuat secara kolektif dan ianya adalah tanggungjawab pihak penganjur. Pihak luar tidak perlu ambil peduli tentang urusan penghakiman kerana itu adalah urusan dalaman dan semua keputusan yang dikeluarkan adalah muktamad seperti yang dinyatakan pada borang penyertaan iaitu : PIHAK PENGANJUR TIDAK BERTANGGUNGJAWAB DIATAS PEMILIHAN KATEGORI SENJATA YANG DIPERTANDINGKAN DAN IA TERPULANG KEPADA PESERTA UNTUK MENENTUKANNYA - KEPUTUSAN HAKIM ADALAH MUKTAMAD.
2. Untuk makluman semua peminat senjata, pertandingan yang diadakan tempohari bukanlah pertandingan kerawang atau belalai gajah tetapi adalah pertandingan keris. Diharap semua peminat senjata lebih peka dan tahu beza perkataan kerawang, belalai gajah dengan keris, jika memang tidak faham dengan istilah berikut pihak PURBA Selangor sedia membantu untuk menerangkannya. PURBA Selangor agak terkilan bila mana keris-keris yang dipertandingkan dinilai di luar pertandingan oleh segelintir peminat keris, diharap kita lebih peka dengan perasaan tuan empunya keris dan janganlah hanya mencari keburukan dan kesilapan keris orang kerana dengan cara seperti ini akan menimbulkan banyak tanggapan negatif. Pandanglah dari sudut yang positif supaya ianya dapat menjadi sempadan dan membawa ke arah kebaikan.
3. Senjata dalam pertandingan tidak boleh dinilai secara penilaian peribadi, penghakiman dan penilaian dibuat mengikut skima yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Oleh itu PURBA Selangor amat berharap janganlah ada komen-komen atau tuduhan-tuduhan negatif dilemparkan terhadap para hakim kerana hakim-hakim menjalankan tugas penghakiman dan penilaian mengikut skima yang telah disediakan oleh pihak penganjur. PURBA Selangor amat mengalu-alukan sebarang komen yang membina dan positif dari semua warga peminat senjata tetapi bukanlah komen-komen yang bersifat serangan peribadi supaya pertandingan yang lebih baik akan boleh dianjurkan pada masa akan datang.
4. Pada pemerhatian PURBA Selangor, pihak-pihak yang banyak membuat kenyataan dan komen terhadap penghakiman pertandingan baik di Kelantan, Terengganu dan Selangor adalah kumpulan yang sama. Jadi PURBA Selangor amat berharap semua peminat senjata dan orang ramai dapat membuat penilaian sendiri terhadap keikhlasan seseorang dalam memartabatkan budaya perkerisan di Malaysia. Yang amat dikesalkan ada segelintir peminat keris yang tidak hadir pada hari pertandingan tersebut turut memberi komen-komen negatif yang dilihat seperti mahu menyalahkan sesetengah pihak tanpa ada usul dan periksa.
* SAYUGIA DIINGATKAN BAHAWA PERTANDINGAN INI DIANJURKAN ADALAH DEMI UNTUK MEMERTABATKAN WARISAN BANGSA DAN UNTUK MENGERATKAN HUBUNGAN SILATURRAHIM DIANTARA PEMINAT KERIS KHUSUSNYA DAN PEMINAT BUDAYA WARISAN MELAYU AMNYA. SEKIRANYA TERDAPAT KOMEN-KOMEN POSITIF DAN MEMBINA AKAN KAMI PERTIMBANGKAN UNTUK PROGRAM AKAN DATANG.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar